Saturday, August 13, 2011

menangani perubahan





MENANGANI Perubahan merupakan koleksi terbaik kertas kerja dan ucapan Anwar Ibrahim sejak 10 tahun lalu dipelbagai majlis dan seminar. Secara umumnya buku ini mengandungi buah fikiran beliau di dalam bidang falsafah hingga ke politik. Setiap topik dibicarakan secara bersepadu dan menyeluruh.


Setiap pidato dan kertas kerja beliau di seminar-seminar sering mengandungi falsafah dan pemikiran para cendikiawan dan para ilmuan lampau. Malah beliau tidak lupa untuk menyelitkan serangkap dua falsafah dan pemikiran ini semasa membentangkan belanjawan negara sewaktu bertugas sebagai Menteri Kewangan dahulu.


Menurut beliau, politik tidak boleh dipisahkan daripada moral, sains dan ketrampilan teknik harus diiringi dengan penghayatan nilai seni dan sastera. Pendekatan ini beliau gunakan dalam hampir keseluruhan bab. Dengan konsep ‘manusia pelbagai dimensi’ untuk menangani cabaran abad ke-21, Anwar membawa pembaca untuk merenung persoalan semasa dan masa depan.


Menurut Anwar, manusia pelbagai dimensi ialah manusia yang dapat menerima perubahan dalam apa jua keadaan. Manusia boleh bersikap pasif atau aktif dalam menerima perubahan. Perubahan adalah hakikat duniawi yang akan berlaku setiap masa.


“Sikap pasif dan mengalah bermakna kita menerima pembaharuan baik dan yang buruk tanpa pilihan wajar. Tiada bezanya sikap ini dengan pendirian jumud yang menerima tradisi dan warisan tanpa tapisan yang saksama.


“Sebaliknya sikap aktif terhadap perubahan bermakna kita menangkis gejala tersebut dengan bijaksana, mengurus dan memberikan haluan yang kita tentukan,” katanya.


Buku setebal 140 halaman ini dibahagikan kepada 12 bab. Selain falsafah dan politik, Anwar turut menyelami bidang pendidikan, kebudayaan, bahasa, dan ekonomi. Kata-kata pujangga dan petikan karya Ibnu Khaldun, Edward Gibbon, Socrates, Gore Vidal, Michael Stanford, Malek Ben Nabi dan lain-lain para ilmuan diselitkan untuk mengukuhkan lagi pandangan beliau.


Beliau turut menggunakan petikan Al-Quran dan hadis, contohnya semasa menegur sikap meminta-minta atau mentaliti subsidi yang tidak sesuai dengan prinsip Islam yang ditunjukkan oleh umat Melayu pada masa sekarang.

Anwar telah mencadangkan konsep pendidikan futuristic semasa menutup Kongres Cendikiawan Melayu Kedua. Menurutnya pendidikan berteraskan masa depan dapat menyediakan generasi muda untuk menghadapi kemungkinan masyarakat industri atau bentuk struktur sosial yang akan dihadapi oleh generasi akan datang.


Beliau turut mengajak masyarakat agar peka dan memeliti ramalan arus masyarakat dan ekonomi dan seterusnya menyesuaikan sistem pendidikan negara dengan kehendak-kehendak tersebut.

Anwar menyeru kearah membudayakan ilmu. Kelahiran tradisi dan budaya ilmu merupakan prasyarat penting ke arah pembinaan sahsiah yang unggul, pembangunan bahasa yang kuat serta pembinaan tamadun yang tinggi.


Menurutnya, usaha menbina tamadun ilmu memerlukan wujudnya tradisi membaca yang meluas, termasuk karya-karya sastera dan budaya. Beliau turut memperkenalkan hasil karya Allan Vogel, Alfred North Whitehead, Fakhruddin al- Razi, prof Syed Hussein Alatas yang banyak mempengaruhi pemikiran beliau.

Semua khalayak masyarakat boleh mendapat manfaat daripada buku ini. Pembacaannya tidak terbatas kepada para ilmiah dan para pelajar. Sesiapa yang mempunyai keinginan untuk memajukan diri boleh mendapatkan buku ini, selain mengetahui karya-karya agung para ilmuan yang diperkenalkan oleh beliau di dalam menangani perubahan.

Walaupun Anwar telah dipenjarakan dan terlibat dalam pelbagai skandal serta tuduhan, adalah tidak wajar untuk membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap hasil karya beliau. Pemikiran beliau jelas boleh diterima pakai oleh masyarakat Malaysia hari ini.

*tulisan masa zaman uni dulu. nak bodek lecturer :p  daripada hilang macam tu jer, baik tempek kat blog sendiri. 
*buku aku tak tau pi mana dah.
*pic buku kidnap dari sini

0 comments:

notis pendek saja

semua kandungan merupakan luahan rasa cek yang tak seberapa. kalau ada yang cek cedok saja, insyaallah akan diletakkan link atau url tempat kopipes dijalankan.

gambar adalah milik persendirian. lagipun bukan cun mana pun kalau korang nak ambik. kalau berkenan jugak, sila la buat link ke blog cek noo.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...